HOME OF MUSAFIR

Jumaat, 6 April 2012

HIDUP ADALAH PERJALANAN, BUKAN DESTINASI..





Maka apabila manusia disentuh oleh sesuatu bahaya, dia segera berdoa kepada Kami; kemudian apabila Kami memberikannya sesuatu nikmat (sebagai kurnia) dari Kami, berkatalah dia (dengan sombongnya): Aku diberikan nikmat ini hanyalah disebabkan pengetahuan dan kepandaian yang ada padaku. (Tidaklah benar apa yang dikatakannya itu) bahkan pemberian nikmat yang tersebut adalah ujian (adakah dia bersyukur atau sebaliknya), akan tetapi kebanyakan mereka tidak mengetahui (hakikat itu)
(Surah Az-Zumar 39: Ayat 49)

3 RUKUN IBADAH

Ibadah bukan semestinya kita bersolat, puasa dan menunaikan haji. Malah ia merangkumi dalam erti kata yang lebih luas lagi. Ini termasuklah dalam belajar, berkerja, makan, mandi, tidur, memandu, berjalan, berkeluarga, mempunyai zuriat dan sebagainya.. Begitu juga dengan bersukan. =)
Tiga rukun ibadah yang banyak dikemukan oleh para Alim Ulama’:
1. Adanya rasa cinta kepada Allah SWT.
2. Adanya rasa harap kepada Allah SWT.
3. Adanya rasa takut kepada Allah SWT.
Sukan renang juga adalah dikira sebagai ibadah jika kena pada tempatnye. Hehe..

BILA WAKTU TELAH BERAKHIR..OPICK


Bagaimana kau merasa bangga, 
Akan dunia yang sementara, 
Bagaimanakah bila semua hilang dan pergi,
Meninggalkan dirimu.
Bagaimanakah bila saatnya,
Waktu terhenti tak kau sedari,
Masihkah ada jalan bagimu untuk kembali,
Mengulangkan masa lalu.
Dunia dipenuhi dengan hiasan,
Semua dan segala yang ada akan,
Kembali padaNya.
Bila waktu telah memanggil,
Teman sejati hanyalah amal,
Bila waktu telah terhenti,
Teman sejati tingallah sepi.

FUTUR: SEGERA BANGKIT ATAU GUGUR

Kes A
"Memang biasanya aku ligat tetapi sekarang ini aku tengah down-lah. Kau teruskanlah apa yang kau rasa baik untuk persatuan kita."
Kes B
"Masa belajar di luar negara dulu memang saya aktif dan sentiasa bersemangat. Keadaan sekarang berbeza. Saya ada tanggungjawab yang terlalu banyak yang mesti ditunaikan. Kerjaya saya sangat sangat demanding dan amat mencabar. Tuan doakanlah untuk saya."
Kes C
"Dialah dulunya yang mendidik saya agar jadi orang baik dan berguna kepada masyarakat. Namun kini dia tidak seperti dulu, bahkan lebih teruk apabila dia pula yang menentang apa yang perjuangkannya sebelum ini."
Futur
Futur bererti lemah, malas, berhenti atau terputus setelah dahulunya dia rajin dan konsisten. Di dalam konteks berkebajikan atau amal dakwah, ia adalah sejenis fenomena penyakit yang menimpa seseorang aktivis dalam bentuk rasa malas, menunda, berlambat-lambat dan lebih menyedihkan ialah apabila dia mengambil keputusan untuk berhenti daripada berbuat sesuatu yang baik setelah dia pernah beriltizam dengannya.
Kenapa Futur Bahaya?
Walaupun futur adalah fenomena yang biasa berlaku di dalam diri seseorang tetapi ia mestilah diuruskan dengan baik agar sejajar dengan sunnah. Jika tidak ia akan menyebabkan kesan-kesan yang buruk.
Di antaranya :
1 - Cuai kepada tanggungjawabnya
Futur menyebabkan seseorang menjadi lemah dan malas dalam menunaikan amanah dan tanggung-jawab yang dipikulnya. Ini menyebabkan tugasan tersebut tertangguh atau terbengkalai keseluruhannya.
2 - Gugur dari jalan kebaikan
Sekiranya futur dibiarkan berpanjangan tanpa rawatan, maka dia akan menjadi satu tabiat. Lama kelamaan penyakit ini menjadi sebati dan seseorang itu menjadi semakin jauh dari amal kebaikan dan dia terus tenggelam di dalam dunianya.
Apabila dia gugur dari jalan kebaikan, maka hilanglah kebaikan yang banyak darinya. Bahkan lebih teruk lagi apabila dia pula yang menentang seruan kebaikan yang pernah diperjuangkannya.
3 - Mati di dalam keadaan yang futur
Apabila futur sudah menjadi kebiasaannya, maka dia menanggung risiko besar untuk mati di dalam keadaan sedemikian. Amat kita takuti sekali jika Allah S.W.T mengambil nyawa kita sedangkan kita dalam keadaan futur, sedangkan Allah S.W.T menghisab amal seseorang berdasarkan akhir hayatnya. Di atas sebab itulah Rasulullah S.A.W mengajar umatnya agar sentiasa berdoa dengan doa;
"Ya Allah, sesungguhnya aku memohon perlindungan kepada-Mu dari kesusahan dan kesedihan, aku berlindung kepada-Mu dari penyakit lemah dan malas." 
(Hadis Riwayat Abu Daud)
Kenapa Boleh Futur?
Di sana, terdapat banyak pintu yang boleh membuka jalan kepada futur :
1 - Terlebih dalam pergaulan
Rasulullah S.A.W menasihatkan supaya kita memilih kawan sebagaimana sabdaannya yang bemaksud;
"Seseorang itu mengikut agama temannya kerana itu hendaklah kamu melihat orang yang kamu jadikan teman."
(Hadis Riwayat Abu Daud)
2 - Berlebih-lebihan atau melampau di dalam beramal
Ramai aktivis muda begitu bersemangat pada mulanya untuk melakukan pelbagai perkara sehingga melupakan anjuran Islam dan kemampuan diri sendiri. Akhirnya apabila fenomena futur menjelma, maka dia menjadi lemah dan bosan.
Ada juga di kalangan manusia yang suka dan berlebihan menilai orang lain, namun kemudiannya dia sendiri futur dan menjadi lebih jelek dari orang yang dinilainya.
Hadis Rasulullah S.A.W yang bermaksud;
"Lakukanlah amal sesuai dengan kemampuanmu kerana sesungguhnya Allah tidak merasa bosan sehingga kamu sendiri merasa bosan. Sesungguhnya amalan yang paling disukai oleh Allah ialah yang dilakukan secara berterusan walau pun sedikit."
(Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)
3 - Berlebih-lebihan dalam perkara yang harus
Satu contoh berlebihan di sini ialah di dalam melayari internet, chatting atau ber-FB. Apabila berlebihan dengannya, seseorang itu akan ketagihan sehingga banyak masa yang digunakan untuk 'terbang' di alam siber. Akibatnya masa untuk berbuat kebaikan menjadi kurang dan dia sering merasa konflik antara dua perkara ini.
4 - Suka bersendirian
Apabila seseorang suka bersendirian, maka dia telah hilang satu sistem pertahanannya daripada Syaitan. Syaitan ibarat serigala yang sentiasa mengintai kambing yang terasing dari kumpulannya.
Pastinya Syaitan akan sentiasa berbisik agar seseorang itu meninggalkan amal kebaikan yang diperjuangkannya. Kita hanya akan mampu berkekalan di dalam kebaikan sekiranya terus bekerja dan hidup di dalam keadaan berjemaah dan bermasyarakat.
5 - Kurang mengingati mati
Antara faktor yang menjadi pemangkin kepada perjuangan ke arah kebaikan ialah dorongan untuk mendapat pahala, rindu dengan Syurga, takutkan dosa dan siksa Neraka. Amat penting bagi kita untuk terus mendidik diri agar istiqamah di dalam ibadah seperti membaca al-Quran, solat Subuh berjamaah dan amalan-amalan lain yang akan mengingatkan kita kepada Akhirat dan bukan hanya bercakap mengenai hal ehwal semasa atau politik semata-mata.
6 - Enteng dengan perkara syubhat dan berbuat dosa
Ada orang yang suka mengambil mudah atau enteng memandang dosa-dosa kecil. Lama-kelamaan dia tercebur dan berterusan dengannya. Manusia pasti melakukan silap dan dosa tetapi apabila berterusan melakukannya maka ini akan menyebabkan hatinya gelap, dia menjadi futur dan kemudiannya berakhir dengan gugur.
7 - Hati yang berpenyakit
Ada di kalangan manusia berbuat kebaikan kerana inginkan nama dan populariti, ada yang berbuat demikian untuk mencuri hati gadis yang dicintainya dan pelbagai sebab yang lain. Kegagalan untuk memperbetulkan atau memperbarui niatnya akan menyebabkan dia sukar untuk bertahan lama daripada futur dan terus berundur.
8 - Permasalahan dalaman organisasi
Bermacam-macam faktor yang boleh menyebabkan konflik internal. Hanya mereka yang mampu berbesar hati dan berlapang dada serta dengan kebijaksanaan kepimpinan maka permasalahan-permasalahan ini akan dapat diatasi dengan baik.
9 - Terlalu asyik dengan kerjaya dan dunianya
Apabila seseorang telah menjadi terlalu asyik dengan kehidupannya, maka dia boleh tenggelam dengannya dan sukar untuk bangkit melainkan sekiranya dia ikhlas, intim hubungannya dengan Allah S.W.T dan bersegera bangkit setelah dilanda futur.
Mari kita renungi bersama maksud sabda Rasulullah S.A.W ini;
"Sesungguhnya ada seorang hamba yang beramal dengan amalan ahli Syurga menurut apa yang nampak di hadapan manusia, (namun) sebenarnya dia adalah penghuni Neraka, ada seorang hamba beramal dengan amalan ahli Neraka menurut apa yang nampak di hadapan manusia, (namun) sebenarnya dia adalah penghuni Syurga. Sesungguhnya amal-amal itu bergantung daripada akhirnya."
(Hadis Riwayat Bukhari)
Akhir Kalam
Syakhsiah diadun berdikit-dikit
Tanpa gopoh dan tanpa kendur,
Andainya futur segera bangkit,
Usah dibiarkan bersembah gugur.
Salam perjuangan.

Biodata Penulis

Prof Madya Dr Zainur Rashid Zainuddin bertugas sebagai Timbalan Dekan, Fakulti Perubatan di International Medical University (IMU) dan Pakar Perunding Obstetrik dan Ginekologi di Hospital Tuanku Jaafar Seremban. Di dalam NGO, beliau merupakan Perunding Aman Palestin dan Naib Presiden I-Medik. Beliau juga menulis di www.zainurrashid.com dan boleh dilawati di page Facebook Dr Zainur Rashid Zainuddin.

Rabu, 6 Julai 2011

BERSIHKAH JIWA?

Teringat kata-kata seorang teman:
"Sudah bersihkan hati ini seandainya masih punya perasaan kasih kepada cinta dunia?"

Take off your blindolds, u've been blinded to muslim issues, the world is waiting for u to do something....

Selasa, 7 Jun 2011

IDOLA USAHAWAN MUSLIM

Credit to: Mr Zulkifli, Damansara Heights, 11 Mei 2011



Abdul Rahman b. Auf.


Saya hampir lupa pada idola usahawan muslim yang bernama Abdul Rahman b. Auf sehinggalah Ustaz Ghazali Ibrahim ingatkannya masa kuliah tengah hari tadi.

Kata Ustaz Ghazali, sesiapa yang terlibat dengan perniagaan, mesti kenal siapa Abdul Rahman b. Auf.

Saya terus buka buku catatan kuliah saya, dan catit beberapa info tentang Abdul Rahman b. Auf. Azam saya lepas ni, saya nak bongkar siapa dia usahawan muslim terulung itu.

Billionnaire Yang Dijamin Masuk Syurga!

Menurut En. Zul Razak, sahabat saya sepejabat katanya, majoriti daripada 10 orang yang dijamin masuk Syurga ialah billioinnaire! Billionnaire! Bukan millionnaire... Eh, betul ke ni? Saya tak pernah selidik pulak sampai macam tu... Menarik ni... nanti nak kena bongkar siapa 10 sahabat yang dijamin masuk Syurga tu...

Berbalik pada Abdul Rahman bin Auf.

Menurut Ustaz, beliau seorang yang kaya sebelum Islam lagi. Dan beliau adalah antara 8 orang pertama yang memeluk Islam. Lepas Islam, beliau bertambah kaya. Masa hijrah, beliau tinggalkan semua hartanya di Mekah. Zaman dulu bukan macam sekarang. Mana ana bank akaun, saham dan berbagai. Semuanya secara harta berbentuk fizikal.

Kaya Bukan Pada Harta, Tapi Nilai Dirinya.
Masa samapi di Madinah, Nabi S.A.W. mempersaudarakan dengan kaum Ansor yang paling kaya. Sahabat Ansor offer dia harta dan isteri. Tapi beliau tolak. Beliau tanya, tunjukkan padanya pasar dan dia memulakan perniagaannya di Madinah.

Bisnesnya berkembang maju. Menewakan bisnes-bisnes orang Yahudi di Madinah!

Hebatnya Abdul Rahman bin Auf... Beliau bukan sahaja kaya, tapi beriman. Hartanya yang banyak tak pernah menenggelamkannya dalam kekayaan. Beliau tak pernah tertipu dengan dunia.

Kerja-kerjanya di tengah malam ialah pergi cari peniaga-peniaga. Dia tanya setiap peniaga, ada tak sesiapa yang berhutang dengan setiap peniaga semalam. Kalau ada, dia akan langsaikan hutang bagi pihak orang yang berhutang tanpa diberitahu bahawa Abdul Rahman lah yang langsaikan hutang... MasyaAllah...

Memiliki 700 Buah 'Mercz'?

Berapakah kekayaan beliau? Ada diberitakan, pernah beliau berdagang di Syam (Syiria), dan bawa balik hasil-hasil dagangannya dengan 700 ekor unta. Setiap unta bawa penuh makanan dan harta hasil perniagaan. Unta pertama beliau sampai di Kota Madinah, unta terakhir baru sahaja keluar dari Kota Syam! MasyaAllah... banyaknya harta beliau...

Unta kalau nak dinisbahkan zaman sekarang ialah kereta Mercedes! Itulah dia nilai unta!
Yang saya rasa sangat kagum, walaupun sibuk dengan bisnes, Abdul Rahman bin Auf sentiasa solat 5 waktu dibelakang Rasulullah!... Aduh... terfikir juga... besar sangatkah bisnes aku ni sampai solat berjemaah pun tak cukup 5 waktu?!

Kekayaan Di Tangannya, Bukan Di Hati

Menurut Ustaz lagi, Abdul Rahman bukan sahaja infaqkan banyak hartanya untuk jihad, tetapi beliau sendiri turut sama ke medan perang! Uh... malunya rasa kalau kita ni, dah lah harta tak sebanyak mana, infaq pun tak seberapa, kerja dakwah dan jihad pun rasa tak sempat!... Malunya pada Abdul Rahman bin Auf...

Lepas kuliah tadi, saya fikir sesiapa yang terlibat dengan bisnes perlu bongkar rahsia, siapakah dia Abdul Rahman bin Auf. Seorang usahawan muslim terulung di zaman Nabi.

Moga Allah kurniakan kita semua kekayaan, dan kekayaan itu tak lain dan tak bukan, hanyalah untuk memperhambakan kita kepada Pemilik Segala Kekayaan! InsyaAllah.

SUMBER

Selasa, 10 Mei 2011

UTUSAN BERMAIN API


1. Gempar seluruh negara apabila akhbar Utusan Malaysia beberapa hari yang lalu seperti menyalakan api ketegangan antara agama ketika mencetus persoalan agama rasmi negara dengan spekulasi kononnya ada pihak tertentu yang berjuang untuk menjadikan kristian sebagai agama rasmi di negara ini.

2. Suatu fakta yang diketahui umum bahawa Perlembagaan negara telah memeteri Islam sebagai agama rasmi negara ini. Sementara ummat Islam pula masih menjadi golongan majoriti biarpun Malaysia adalah sebuah negara majmuk. Justeru itu, Islam tidak sewajarnya tergugat dan ummat Islam tidak selayaknya membenarkan Islam digugat.

3. PAS sebagai sebuah wadah perjuangan Islam di dalam negara ini pastinya tidak lebih rendah usahanya untuk memperjuang, mempertahan dan menegakkan Islam berbanding UMNO dan Barisan Nasional. Kegigihan serta kesungguhan PAS berjuang serta berkorban demi melihat Islam tegak dan berdaulat di dalam negara ini nyata tidak boleh dipertikai merentasi rekod dan sejarah perjuangannya.

4. Sungguhpun PAS menyertai "kerjasama politik" bersama parti - parti rakan kompenan Pakatan Rakyat [ PKR dan DAP ], namun PAS tidak pernah mengendurkan pedatinya untuk terus memacu perjuangan Islam, jauh sekali untuk berubah arah meninggalkan prinsip perjuangan yang didokong selama ini. Malah pacuan semakin kencang ke arah menguasai negeri bahkan negara agar bebas dari cengkaman pengaruh dan kuasa UMNO juga Barisan Nasional yang menjadi punca Islam dilihat lemah serta terdedah kepada ancaman setelah lebih 50 tahun mereka memerintah, mengurus dan mentadbir negara.

5. Andainya Islam hari ini dilihat terancam dan penganutnya pula lemah pegangan agama adalah menjadi tanggungjawab semua melewati peranan dan tugas yang sayugianya dilaksanakan. Sementara kerajaan selaku pemegang amanah rakyat untuk menjaga agama, negara dan warganya mestilah mengambil tanggungjawab dengan penuh keinsafan melepasi jangkauan sempadan kepentingan politik dan parti.

6. Saya melihat spekulasi yang ditimbulkan oleh Utusan Malaysia kononnya terdapat pihak tertentu yang berusaha untuk menjadikan kristian sebagai agama rasmi negara ini adalah berpunca dari kelemahan dan kegagalan UMNO sebagai parti utama dalam Barisan Nasional menunaikan amanah yang digalaskan kepada mereka selaku pemerintah.

7. Lebih 50 tahun rakyat memberi kepercayaan dan mandat kepada UMNO mewakili Barisan Nasional untuk memimpin dan mentadbir negara khasnya untuk melindungi agama Islam dan kesejahteraan rakyat. Malang sungguh, malang seribu kali malang apabila Islam bukan sahaja tidak semakin kuat dan utuh tetapi dikesan umum bahawa ia semakin susut dan merosot.

8. Jika UMNO berjaya dan mampu menjaga agama Islam ini dengan baik dan menjadikan ianya semakin hari semakin kuat dan hebat, saya percaya dan yakin spekulasi untuk menjadikan kristian sebagai agama rasmi negara ini tidak akan timbul. Bahkan dalam masa yang sama, penganut - penganut agama selain Islam akan terasa aman dan selesa untuk mengamal serta menganut agama mereka.

9. Spekulasi yang dicetuskan oleh Utusan Malaysia ini bukan sahaja menampakkan kelemahan dan kegagalan ketara UMNO dan Barisan Nasional selaku pemerintah, ia juga berpotensi menyalakan api ketegangan antara agama. Pastinya situasi ini akan menggugat keamanan negara dan rakyat yang sepatutnya memperolehi hak hidup aman dan sejahtera.

10. Spekulasi itu sangat tidak bertanggungjawab. Selain dari potensi menggugat keamanan, spekulasi sedemikian juga dilihat umum sebagai usaha meraih perhatian politik murahan sekaligus percubaan nekad untuk menyembunyikan kelemahan dan ketidakupayaan mereka menjaga agama suci ini.

Murnikan Perjuangan Maknakan Kemenangan


Nasrudin bin Hassan
Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia.

SUMBER: http://www.eperjuangan.com/2011/05/utusan-bermain-api.html